Halaman

Jumaat, 25 Februari 2011


Nabi Adam a.s

Nabi Adam a.s dan Hawa diturunkan ke bumi(sambungan bg mukasurat 11)

Mendengarkan firman Allah tersebut, Adam dan Hawa menjawab dengan penuh penyesalan, “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah menganiaya diri sendiri. Kalau Tuhan kami tidak mengampunkan dan menyayangi kami nescaya kami termasuk golongan orang yang rugi.”
           
Akibat  peristiwa tersebut, Allah telah memerintahkan Adam dan Hawa untuk keluar daripada syurga dan turun ke bumi. Allah berfirman, “Turunlah kamu, antara kamu dengan sebahagian yang lain akan saling bermusuhan dan di bumi kamu mempunyai tempat tinggal dan kehidupan sampai waktu yang ditentukan.” Allah telah menyuruh Malaikat Mikail dan Malaikat Jibril untuk membawa Adam dan Hawa keluar dari syurga. Lalu Adam dan Hawa pun turun ke bumi dan terpisah. Adam telah turun di satu kawasan di India dan Hawa pula turun di Jeddah. Akan tetapi, dengan izin Allah, Adam dan Hawa telah bertemu semula di Padang Arafah.

Peristiwa Qabil membunuh Habil(pembetulan nombor ayat dan sambungan bagi mukasurat 16)

Surah Al-Maidah ayat 31:

“Maka Allah mengirim seekor burung gagak yang mencakar-cakar tanah untuk menanam bangkai saudaranya. Qabil berkata: ‘Sungguh, amat celaka aku. Aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak itu untuk menguburkan saudaraku.’ Maka jadilah dia termasuk orang yang menyesal.”
Allah telah menghukum Qabil sejak dia membunuh Habil. Betisnya terikat ke paha dan mukanya sentiasa terdongak menghadap matahari.

             Setelah mengetahui perbuatan kejam Qabil ke atas habil, nabi Adam berasa sangat sedih dan terkesan atas peristiwa tersebut, Nabi Adam telah menangisinya selama 40 tahun. Selepas itu, Adam dan Hawa dikurniakan dengan  ramai anak dan keturunan yang berkembang biak di pelbagai tempat di muka bumi. Nabi Adam telah berdakwah dan  mendidik anak-anaknya dengan keimanan serta menerapkan ketaqwaan kepada Allah.

            Nabi Adam telah hidup selama 1000 tahun. Semasa kewafatannya, malaikat datang menguruskan dan menguburkan mayat baginda. Nabi Adam telah disemadikan di kawasan baginda pertama diturunkan dari syurga. Selepas pemergian Adam, anak-anak baginda meneruskan tanggungjawab berdakwah dan mentadbir bumi.

Nabi Idris a.s

Nabi Idris adalah keturunan keenam daripada nabi Adam. Nama baginda ialah Idris bin Mahlail bin Qinan bin Anusy bin Syits bin Adam dan nama sebenarnya ialah Khanaukh. Nabi Idris adalah keturunan nabi Adam yang pertama dilantik menjadi nabi selepas Adam a.s dan Syits a.s. Baginda juga merupakan moyang kepada nabi Nuh a.s. Allah telah menyebut Idris sebagai Nabi dan orang yang benar di dalam surah Maryam ayat 56-57.

“Ceritakanlah (kepada mereka, wahai Muhammad! (kisah)) Idris di dalam al-Quran. Sesungguhnya dia adalah orang yang benar(shiddiq) dan seorang nabi. Kami telah mengangkat (darjatnya) ke tingkatan yang tinggi.”

Semasa kanak-kanak, Idris telah belajar daripada Syits dan baginda telah mendapat banyak ilmu. Setelah dewasa, Allah telah melantik Idris menjadi nabi dan memberikan baginda sebanyak 30 kitab. Setelah menjadi nabi, Idris telah menyeru pengikutnya menyembah Allah dan berbuat kebaikan.

Nabi Idris adalah orang yang pertama menulis menggunakan pen dan memakai baju yang berjahit.Nabi Idris juga memiliki kepakaran menunggang kuda, mengira, ilmu bintang,  menggunting dan menjahit pakaian. Baginda juga adalah seorang yang sangat berani dan gagah dalam melaksanakan dakwah dan menentang kejahatan sehingga digelar Asadul Asad iaitu Singa dari segala Singa.

Sepanjang nabi Idris berdakwah, baginda hanya mempunyai pengikut yang sedikit. Ramai orang yang menentang nabi Idris sehingga baginda terpaksa melarikan diri dan meninggalkan Mesir.

Allah telah menurunkan wahyu kepada baginda dan memberitahunya bahawa Allah mengangkat darjat nabi Idris seperti seluruh amalan anak Adam. Salah satu malaikat pilihan Allah datang menemui Nabi Idris dan mengajak baginda berbincang sehingga amalan nabi Idris bertambah. Kemudian, malaikat tersebut membawa nabi Idris di antara kedua sayapnya naik ke langit. Apabila sampai ke langit keempat, mereka bertemu dengan Izrail. Izrail bertanya di mana nabi Idris. Malaikat yang membawa nabi Idris memberitahu bahawa Idris ada di belakangnya. Kemudian, Izrail memberitahu bahawa nyawa nabi Idris harus dicabut di langit yang keempat dan Izrail terus mencabut roh nabi Idris.

Begitulah kisah nabi Idris yang telah Allah muliakan di dalam firmanNya, “Ingatlah kisah Ismail, Idris dan Zulkifli. Masing-masing tergolong orang yang sabar.”(Al-Anbiya’:85)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan