Halaman

Jumaat, 25 Februari 2011


Nabi Ibrahim a.s

Nama sebenar baginda ialah Ibrahim bin Tarikh bin Nahar bin Sarugh. Baginda adalah daripada keturunan nabi Nuh a.s. Ibrahim  telah dilahirkan di negeri Babilon. Kemudian, Ibrahim dan keluarganya berpindah  dan menetap di Hirran yang terletak di wilayah Caledonia. Pada masa itu, terdapat seorang raja yang memerintah dengan kejam iaitu Raja Namrud dan orang ramai menyembah tujuh bintang dan berhala.

Semenjak kecil, keimanan nabi Ibrahim telah terpelihara. Baginda tidak mempercayai berhala-berhala yang disembah oleh kaumnya. Bagi Ibrahim, berhala-berhala tersebut hanyalah patung yang tidak berakal, tidak dapat melihat, mendengar atau berkata-kata. Berhala-berhala itu adalah ciptaan manusia dan tidak mampu menolong orang-orang yang menyembahnya.

 Baginda sentiasa berfikir dan mencari-cari Tuhan yang sebenar. Ibrahim selalu memerhatikan kejadian alam seperti matahari, bulan dan bintang di dalam usahanya mencari Tuhan. Allah berfirman di dalam al-Quran, “Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami yang terdapat) di langit dan bumi, dan (Kami memperlihatkannya) agar Ibrahim itu termasuk orang-orang yang yakin. Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Inilah Tuhanku.” Tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: “Saya tidak suka kepada yang tenggelam.” Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: “Inilah Tuhanku.” Tetapi setelah bulan itu terbenam dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat.” Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar,” maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata: “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan.”(6:75-78)

Selepas mendapat hidayah daripada Allah, nabi Ibrahim semakin yakin dengan keimanannya. Baginda mula menyampaikan dakwah kepada kaumnya. Nabi Ibrahim dengan terang-terangan akan menghina berhala-berhala di depan kaumnya. Pada suatu ketika, nabi Ibrahim bersumpah di dalam hatinya, “Demi Allah! Aku akan bertindak (menghancurkan) berhala-berhala kamu sepeninggalan kamu nanti.”(21:57).

Kaum nabi Ibrahim mempunyai satu hari perayaan di mana pada hari tersebut mereka akan pergi berkumpul beramai-ramai di tengah-tengah kota. Nabi Ibrahim telah merancang untuk memusnahkan berhala kaumnya ketika semua orang telah pergi ke tapak perayaan tersebut. Apabila ayah nabi Ibrahim mengajaknya untuk mengikuti acara tersebut, Ibrahim menolak dan mengatakan bahawa baginda sakit.

Setelah semua orang meninggalkan kampung mereka, Ibrahim telah menyelinap keluar dan menuju ke tempat penyembahan berhala dengan membawa sebilah kapak. Ibrahim mendapati berhala-berhala tersebut disusun di dalam sebuah dewan yang besar. Di tangan berhala-berhala tersebut terdapat berbagai makanan. Ibrahim berkata, “Apakah kamu tidak makan?Kenapa kamu tidak menjawab?Ibrahim segera bertindak menghancurkan berhala-berhala itu dengan tangan kanannya.”(37:91-93). Nabi Ibrahim telah memusnahkan semua berhala di situ dan hanya meninggalkan satu berhala yang paling besar. Kemudian, baginda meletakkan kapak yang digunakannya tadi di tangan berhala tersebut.

Apabila kaum nabi Ibrahim pulang daripada tempat perayaan, mereka berasa sangat terkejut melihat berhala-berhala mereka hancur. Mereka tertanya-tanya siapakah yang berani menghancurkan berhala-berhala tersebut. Kebetulan terdapat beberapa orang yang pernah mendengar nabi Ibrahim menghina berhala. Mereka menuntut agar nabi Ibrahim ditangkap dan dibicarakan di hadapan khalayak ramai. Nabi Ibrahim berasa gembira kerana hajatnya untuk menyampaikan kebenaran di khalayak umum tercapai. Setelah semua orang ramai berkumpul dan Ibrahim di bawa ke hadapan, mereka bertanya, “Ibrahim! Engkaukah yang menghancurkan tuhan-tuhan kami? Ibrahim menjawab, “Sebenarnya patung yang besar itulah yang melakukannya, maka tanyakanlah kepada berhala itu, jika ia dapat berkata-kata.”(21:62-63)

Jawapan nabi Ibrahim telah membuatkan kaumnya menyedari kelemahan berhala sembahan mereka. Orang-ramai mula resah dan mereka terus berkata, “Engkau telah tahu bahawa patung itu tidak dapat bercakap dan menjawab. Mengapa engkau minta kami bertanya kepadanya?” Ibrahim dengan segera menjawab, “Kalau begitu kenapa kamu menyembah selain Allah, sesuatu yang tidak bermanfaat dan tidak mendatangkan mudarat sedikitpun bagimu?Ah! Celakalah kamu. Bagaimana kamu menyembah selain Allah, apakah kamu tidak berakal?”(21:66-67)

Jawapan nabi Ibrahim itu telah mebuatkan orang ramai dan para pembesar marah dan terhina. Mereka tidak tahu bagaimana untuk menyangkal hujah nabi Ibrahim. Untuk menutup kelemahan mereka, nabi Ibrahim telah dijatuhkan hukuman dibakar di dalam unggun api. “Mereka berkata, “Bakarlah dia dan bantulah tuhan-tuhanmu kalau kamu benar-benar ingin bertindak.”(21:68)

Orang-ramai termasuk orang yang sakit pun segera mengumpul sebanyak-banyak kayu api untuk membakar Ibrahim. Kayu api tersebut dikumpulkan di satu tempat dan api pun dinyalakan. Api terus menjulang tinggi dan marak menyala dengan dahsyat. Tidak pernah ada unggun api sebesar itu. Nabi Ibrahim diletakkan di atas pelontar batu dan dilemparkan ke dalam api tersebut. Baginda menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah dan berdoa agar diselamatkan dari kekejaman kaumnya. Ketika itu Allah berfirman kepada api, “Wahai api! Jadilah kamu sejuk dan berikan keselamatan kepada Ibrahim.” Apabila nabi Ibrahim berada di dalam unggun api tersebut, api telah menjadi sejuk dan baginda terselamat daripadanya.

Selepas terselamat daripada unggun api tersebut, nabi Ibrahim terus berdakwah kepada kaumnya dan termasuk kepada bapa baginda. Bapa nabi Ibrahim ialah seorang pengukir berhala dan nabi Ibrahim ingin mengajak beliau beriman. Malangnya, bapa nabi Ibrahim tetap enggan beriman kepada Allah. Nabi Ibrahim tidak berputus asa dalam usaha dakwahnya dan terus menyeru semua orang untuk menyembah Allah yang satu. Pada suatu hari, nabi Ibrahim telah dipanggil untuk berdebat dengan Raja Namrud. Raja Namrud adalah seorang raja zalim yang sangat berkuasa sehingga dia mengaku sebagai tuhan.

Nabi Ibrahim telah berdialog dengan Raja Namrud. Raja Namrud sering menyangkal kenyataan Ibrahim mengenai Allah dan mengatakan dia juga boleh melakukan segala perkara yang dilakukan oleh Tuhan nabi Ibrahim. Apabila Ibrahim berkata, “Tuhanku boleh menghidupkan dan mematikan,” Raja Namrud dengan sombong menjawab, ‘Aku juga dapat menghidupkan dan mematikan.” Sebenarnya makna kata-kata Namrud hanyalah kemampuannya menentukan siapa yang hendak dibunuhnya ketika menjatuhkan hukuman mati ke atas dua orang rakyatnya. Seorang dibunuh dan yang seorang lagi dibebaskan. Pada kemuncak perdebatan, Raja Namrud kehilangan kata-kata apabila nabi Ibrahim menyatakan, “Allah menerbitkan matahari dari arah timur. Cuba kamu ubah dan terbitkan ia dari barat.” Walau bagaimanapun, Raja Namrud tetap dengan keangkuhannya dan enggan beriman. Sebagai balasan Allah, Raja Namrud dan pengikutnya telah diazab dengan sepasukan nyamuk yang menghisap habis darah dan daging mereka. Raja Namrud pula diseksa dengan seekor nyamuk yang masuk ke dalam hidungnya selama 40 tahun. Sepanjang tempoh itu Raja Namrud akan memukul-mukul kepalanya dengan tongkat sehingga dia mati dalam keadaan terseksa.

Pada suatu hari, Nabi Ibrahim telah memohon kepada Allah agar menunjukkan bagaimana Allah mematikan dan menghidupkan hamba-hambaNya. Nabi Ibrahim sememangnya tidak meragui kebesaran Allah, tetapi baginda berharap agar dapat mententeramkan hati dan mengukuhkan lagi keimanannya.Allah telah memperkenankan doa Ibrahim dan berfirman, “Ambillah empat ekor burung, lalu cingcanglah semuanya olehmu. Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.” Nabi Ibrahim melaksanakan perintah Allah tersebut dan menyaksikan sendiri kebesaran Allah apabila burung-burung yang telah dicincang tersebut datang berterbangan dan bercantum kembali.

Nabi Ibrahim telah berkahwin dengan seorang wanita yang rupawan bernama Sarah. Oleh kerana keselamatan nabi Ibrahim tidak terjamin, mereka sekeluarga berhijrah ke Syam. Kemudian, nabi Ibrahim dan isteri baginda pergi ke Mesir. Raja Mesir ketika itu telah mendengar berita tentang kehadiran Sarah yang sangat cantik di negaranya. Baginda segera memerintahkan agar nabi Ibrahim dan Sarah dibawa mengadap di hadapannya. Setelah nabi Ibrahim dan Sarah dibawa mengadap, Raja Mesir segera bertanya kepada Ibrahim, “Siapakah perempuan itu?” Ibrahim menjawab, “Saudaraku.” Saudara yang dimaksudkan oleh nabi Ibrahim adalah saudara seagamanya. Nabi Ibrahim tidak menyatakan bahawa Sarah adalah isterinya untuk menjaga keselamatan mereka berdua. Selepas itu, Sarah diperintah untuk tinggal di istana. Tetapi, hasil keberanian dan ketegasan Sarah, Raja Mesir telah membenarkan Sarah kembali ke pangkuan Ibrahim. Sarah juga telah dihadiahkan seorang hamba wanita yang bernama Hajar.

Setelah lama hidup bersama, nabi Ibrahim masih belum mendapat cahaya mata. Sarah kemudiannya membenarkan nabi Ibrahim untuk mengahwini Hajar. Hasil dari perkahwinan tersebut, Hajar telah melahirkan Ismail. Dengan izin Allah, Sarah juga telah berjaya melahirkan seorang anak yang dinamakan Ishak tidak lama selepas itu.

Nabi Ibrahim telah hidup selama 200 tahun. Baginda adalah merupakan orang yang pertama berkhitan(bersunat), menerima tetamu dan memiliki uban. Semasa wafat, nabi Ibrahim dan Ishak hadir di majlis pengebumian baginda. Jasad nabi Ibrahim dikebumikan bersebelahan dengan makam iserinya, Sarah di Murbi’ah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan