Halaman

Jumaat, 25 Februari 2011


Nabi Nuh a.s

            Nama sebenar Nabi Nuh a.s ialah Nuh bin Lamik bin Matusyalak bin Khanaukh, iaitu Idris a.s. Nabi Nuh adalah keturunan nabi Adam yang kesepuluh dan merupakan rasul yang pertama diutuskan Allah kepada manusia. Nabi Nuh adalah seorang yang bertaqwa, jujur dan memiliki peribadi mulia. Baginda telah diutuskan kepada manusia ketika kerosakan telah meluas di muka bumi dan manusia telah mula menyembah berhala. Allah berfirman kepada Nuh, “Berilah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya.”

            Nabi Nuh telah menyeru kaumnya agar menyembah Allah yang satu dan meninggalkan penyembahan berhala yang sia-sia. Baginda berdakwah siang dan malam dengan berbagai cara seperti memberi amaran tentang seksa Allah tanpa mengenal putus asa. "Sesungguhnya Kami telah mengutus Nuh kepada kaumnya lalu ia berkata: "Wahai kaumku sembahlah Allah, sekali-kali tak ada Tuhan bagimu selainNya."" Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah), aku takut kamu akan ditimpa azab hari yang besar (kiamat)." Al-A’raf:59)

            Malangnya, usaha nabi Nuh tidak berjaya. Hanya beberapa orang daripada golongan miskin dan hina sahaja yang mempercayai baginda. Allah menerangkan di dalam al-Quran, "dan tidak beriman bersama dengan Nuh itu kecuali sedikit."(11:40) Kaum nabi Nuh yang selebihnya tetap menyembah berhala dan menentang ajaran nabi Nuh. Mereka sentiasa menyeksa nabi Nuh dan pengikut baginda dan menuduh nabi Nuh membawa ajaran sesat.

            Orang-orang kaya dan pembesar kaum nabi Nuh enggan beriman kerana kesombongan mereka. Mereka lebih menyayangi harta-benda dan anak-pinak mereka dan takut kemuliaan mereka akan hilang sekiranya beriman. Setiap kali nabi Nuh menyeru dan mengajak mereka agar menyembah Allah, mereka akan menghina dan menentang nabi Nuh. Kemuncak penentangan mereka berlaku apabila mereka dengan sombong berkata, “Hai Nuh, sesungguhnya kamu telah berbantah dengan kami, dan kamu telah memperpanjang bantahanmu terhadap kami, maka datangkanlah kepada kami azab yang kamu ancamkan kepada kami, jika kamu termasuk orang-orang yang benar. Nuh menjawab: “Hanya Allah yang akan mendatangkan azab itu kepadamu jika Dia menghendaki, dan kamu sekali-kali tidak dapat melepaskan diri.” (11:32-33)

            Kaum Nabi Nuh terus menentang dengan pelbagai cara dan telah menyebabkan Nabi Nuh tertekan. Ketika itu, Nabi Nuh menyerahkan segala-galanya kepada Allah dan baginda berdoa untuk mengadu kepada Allah, “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah mendustakan aku. Maka ambillah suatu keputusan antara aku dan mereka, dan selamatkanlah aku beserta orang-orang mukmin yang menyertaiku.”

            Allah telah memakbulkan doa nabi Nuh. Semasa kaum Nuh sedang bercadang untuk bersatu menentang baginda, Allah telah memerintahkan nabi Nuh untuk membina sebuah kapal yang sangat besar. Tidak ada kapal yang akan dapat menandingi saiz kapal itu nanti. Untuk tujuan tersebut, nabi Nuh diperintahkan untuk menanam pokok jati dan menunggunya sehingga 100 tahun untuk membolehkan pokok-pokok tersebut membesar. Allah juga telah mengingatkan nabi Nuh supaya tidak memberitahu kaumnya tentang bala bencana yang akan menimpa mereka. Allah juga mengingatkan nabi Nuh agar menguatkan hati dan tidak berasa belas kasihan ketika umatnya diazab.

            Setelah menunggu selama 100 tahun, nabi Nuh menebang pokok-pokok jati yang ditanam dahulu. Kayu daripada pokok-pokok jati tersebut digunakan untuk membina kapal. Semasa nabi Nuh yang dibantu dengan pengikutnya berusaha menyiapkan kapal, mereka sentiasa diejek dan dipermainkan oleh para pembesar kaum kafir yang melalui tempat pembinaan kapal. Namun, nabi Nuh tetap tabah meneruskan pembinaan kapal dan sentiasa berserah kepada Allah.

            Akhirnya kapal tersebut pun siap dibina. Apabila tanda-tanda azab Allah semakin hampir, Allah berfirman, “Sehingga apabila telah datang perintah Kami dan tungku-tungku memancarkan air, maka angkutlah segala jenis (binatang) secara berpasangan ke dalam kapal. Begitu juga keluargamu dan orang-orang yang beriman, kecuali orang-orang yang telah ditetapkan kebinasaannya…”(11:40)

            Nabi Nuh segera melaksanakan perintah Allah dan memenuhkan kapal tersebut. Apabila baginda bersama-sama penumpang kapal telah selamat berada di dalam kapal, Allah memerintahkan langit untuk menurunkan hujan yang sangat lebat dan memerintahkan bumi agar memancarkan mata air yang banyak. Banjir mulai pasang menjadi seperti lautan luas dengan ombak yang ganas. Seluruh muka bumi termasuk gunung-ganang ditenggelami air. Kapal nabi Nuh berlayar di tengah-tengah lautan yang bergelora dan dipukul oleh ombak-ombak sebesar gunung.

            Di dalam keadaan yang kelam-kabut tersebut, nabi Nuh terlihat anaknya yang sedang berusaha menyelamatkan diri di atas puncak sebuah bukit. Nuh berasa sangat kasihan terhadap anaknya dan memanggil anaknya , “Hai anakku, naiklah (ke kapal) bersama kami dan janganlah kamu berada bersama orang-orang yang kafir.”(11:42). Tetapi, anak nabi Nuh tetap berdegil dan dengan sombong menolak, “Aku akan pergi berlindung ke sebuah gunung yang akan menyelamatkan aku dari banjir ini.” Nuh mengingatkan anaknya bahawa tiada siapa yang akan terselamat dalam banjir itu. Tiba-tiba datang satu ombak besar yang memisahkan nabi Nuh dan anaknya.  Akhirnya anak nabi Nuh yang derhaka mati lemas dan binasa bersama orang-orang kafir yang lainnya.

            Setelah semua orang yang derhaka dimusnahkan, Allah memerintahkan bumi agar menelan kembali semua air banjir dan mengarahkan langit agar menghentikan hujan. Air banjir beransur surut dan kapal nabi Nuh berlabuh di atas gunung Judiy. Allah memerintahkan agar nabi Nuh turun dari kapal dan memulakan kehidupan yang baru. Nuh dan pengikut baginda telah turun dari kapal tersebut pada 10 Muharam iaitu pada hari Asyura. Peristiwa ini telah menjadi asas kepada kebiasaan masyarakat sekarang yang memasak makanan pada hari Asyura sebagai tanda kesyukuran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan